Monday, September 29, 2008
9/29/2008 04:49:00 PM
Bagaimana Rasulullah S.A.W Menyambut Ketibaan Syawal
Alhamdulillah wa solatuwassalam`ala Rasulillah wa `ala `alihi wasohbihi ajmain.
Ramadhan datang, Ramadhan pergi.
Kini tibanya bulan Syawal dimana kita meraihkan kemenangan kita berpuasa.
Suara takbir kedengaran dimana-mana di atas bumi Sang pemiliknya.
Mengharapkan dapat menjadi hamba Allah yg lebih bertaqwa.
Semoga Allah memanjangkan usia kita semua untuk bertemu di dalam bulan Ramadhan tahun demi tahun mengikut kehendak dan keredhaanya. ameen
Di bulan yg mulia, semua umat Islam bergembira menyambut Syawal.tapi tahukah kita bagaimana hendak menyambutnya yg ditetapkan dalam syariat Islam?
Pada ketika ini kita semua sedang dalam keadaan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri. Berziarah dan kunjung mengunjung, membuat rumah-rumah terbuka, menjamu sanak saudara dan sahabat handai. Begitulah kebiasaan atau tradisi kita menyambut lebaran. Semoga kita menyambut Aidilfitri ini mengikut seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan.
Antara perkara yang dianjurkan oleh syara’ itu ialah :-
1)Bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan sewajarnya dilakukan dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.
2) Kunjung-mengunjung ( berziarah ) tanda persaudaraan dan silaturrahim. Mengujudkan hubungan silaturrahim ini merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mengujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah SWT
Ini jelas sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW riwayat Al-Imam At-Tarmizi
Maksudnya :
"Hubungan silaturrahim adalah jalinan daripada tuhan yang pengasih. Siapa yang menyambungnya, Allah juga berhubung dengannya dan siapa yang memutuskannya, Allah memutuskan hubungan dengannya."
Dalam pada itu patut kita ingat bahawa dalam kita asyik mengadakan kunjungan itu, janganlah pula sampai tertinggal sembahyang atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran-ajaran agama Islam seperti bersalam-salaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
3)Selain ziarah menziarahi di hari yang mulia ini, marilah kita sambut dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahu pun pakaian, jangan sampai wujud pembaziran yang akan menyebabkan kita menanggung beban dikemudian hari. Hari raya ini bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah SWT dan hubungan kita sesama makhluk.
Ingatlah akan Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 112 :-
Tafsirnya :-
"Mereka diliputi kehinaan dimana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali ( agama ) Allah dan tali perjanjian dengan manusia, dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka mengingkari dengan ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka durhaka dan melampaui."
4) Janganlah hendaknya ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan.

Hari raya adalah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar-benar beramal di bulan Ramadhan. Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Saad bin Aus Al-Ansari daripada ayahnya Radiallahuanhu baginda bersabda maksudnya :-
“Apabila tiba Hari Raya Fitrah, berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru, pergilah wahai kaum muslimin menghadap tuhan yang pemurah yang memberikan kebajikan dan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan Qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru : ketahuilah bahawasanya tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari Aljaizah ( hari mendapat ganjaran ).
Pada hari raya ini kita disunatkan sesama Islam saling mengucapkan tahniah dengan mendoakan diantara satu sama yang lain seperti mengucapkan :Taqabalallahu wa minna wa minkum , ertinya, semoga Allah menerima daripada kita dan menerima daripada awak
Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang kita buat di bulan Ramadhan.
Marilah kita menyambut hari raya ini dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan. Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu.
wa afwaminkum,
wassalam